Tradisi Masjid Kampung Hulu
   | 
MASJID Kampung Hulu yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka  sudah berusia 283 tahun. Rumah Allah yang dibina oleh seorang pendatang  dari negara China itu sudah merentasi beberapa zaman. Namun, reka bentuk  dan struktur konkritnya masih utuh dan tersergam indah.
Masjid Kampung Hulu tidak pernah sunyi sehingga kini. Alunan  ayat-ayat suci al-Quran sentiasa bergema di corong-corong pembesar  suara.
Para jemaahnya pula merentasi benua. Wajah-wajah unik dari Tanah Arab  mahupun dari China sesekali mendominasi ruang masjid tertua di Melaka  itu. Ketika Ramadan, syiar Islam di Masjid Kampung Hulu dikatakan lebih  terkesan dan terserlah.
Baru-baru ini penulis bersama jurufoto, Abdul Razak Latif berpeluang  merasai aura Ramadan di sana. Sebaik para jemaah selesai menunaikan  solat Asar, para jemaah lelaki berkumpul di beberapa sudut masjid.
Ada yang sibuk menyusun pinggan mangkuk dan cawan plastik. Tidak  kurang pula yang berhempas-pulas mengalih dan mengangkat beberapa periuk  besar dari bara api.
Seorang budak lelaki pula sedang sibuk mencedok bubur lambuk.  Sementara lelaki yang serius wajahnya, khusyuk menyusun kurma di atas  sebiji pinggan.
Selepas itu, datang seorang lelaki berkulit sawo matang dan  berketayap mengangkat dua biji dulang yang dipenuhi nasi dengan  kedua-dua belah tangannya.
Pada petang yang mendung itu, rumah Allah itu bertali arus didatangi  oleh pelbagai manusia yang entah dari mana. Mereka dilihat menghantar  bungkusan makanan. Tanpa sebarang pesan, mereka meletakkan bingkisan itu  di tepi tangga dan terus beredar.
Sukarelawan masjid
Namun seorang lelaki India Muslim yang memikul beberapa kampit beras sempat membisikkan sesuatu kepada seorang pegawai masjid.
“Ya, pada bulan Ramadan ini, ramai datang bersedekah, murah rezeki masjid ini, Alhamdulillah.

KATA Abdullah, Masjid Kampung Hulu  merupakan satu-satunya masjid di Melaka menggunakan beduk untuk  menandakan azan Maghrib sudah masuk waktu. 
“Sekarang, saya dan beberapa sukarelawan masjid sedang menyediakan  persiapan untuk berbuka puasa untuk para jemaah, tapi sebenarnya kita  dah mula sejak awal pagi,” kata norja Masjid Kampung Hulu, Abdullah  Abdul Kadir, 62, kepada Kosmo!.
Hubungan antara masjid itu dan Abdullah sangat akrab. Dia mengetahui serba-serbi mengenai rumah Allah tersebut.
Topik perbualan kami pada petang itu terarah tentang rutin Ramadan  di masjid tersebut. Kata anak jati Melaka ini, Masjid Kampung Hulu masih  mengekalkan stail makan dalam dulang sejak hampir tiga abad yang  lampau.
“Zaman dulu, masjid ini pakai material yang dibawa khas dari China tapi sekarang semua dah pecah.
“Sehingga kini, kita tak pernah terfikir untuk ubah tradisi itu  (makan dalam dulang), cuma jemaah perempuan saja kita tukar makan pakai  pinggan tapi jemaah lelaki tetap sama,” jelasnya yang dilantik menjadi  norja sejak 12 tahun lalu.
Abdullah tidak berseorangan dalam mengurus masjid itu. Dia dibantu  oleh seramai lima hingga lapan sukarelawan yang ikhlas dan tidak kisah  melakukan kerja-kerja secara percuma.
Pada setiap hari, norja memberitahu, 50 dulang makanan disediakan  untuk majlis berbuka puasa. Sebanyak 40 dulang untuk lelaki dan bakinya  untuk jemaah wanita.
“Menu kita ialah nasi bukhari, nasi putih, kari, kurma, tembikai,  air panas dan air sejuk. Selebihnya datang daripada orang ramai dan akan  diagih-agihkan secara adil kepada semua orang,” ujarnya yang membeli  keperluan melalui dana masjid dan hasil derma orang ramai.
Apakah menariknya makan sedulang? Menurut pendakwah bebas, Hashim  Awaludin, makan secara berjemaah akan mewujudkan hubungan yang baik. 
“Makan sedulang berupaya mengeratkan hubungan sesama insan.
“Rasulullah sering makan sedulang dengan anggota keluarganya kerana  Maha Pencipta menjanjikan keberkatan kepada mereka yang mengamalkannya,”  katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Cerita musafir 
Melihat jemaah yang berwajah asing, berbeza pemakaian dan loghat percakapan, Abdullah ditanya tentang tetamu-tetamu Allah itu.
“Ya, ada antara mereka terdiri daripada musafir yang datang dengan  tujuan. Tidak ketinggalan ada orang yang sesat dan yang bermunajat, kita  sambut dengan hati terbuka” katanya.

SETIAP hari, pihak masjid akan menyediakan 50 dulang untuk para jemaah yang datang bertandang ke sini. 
Abdullah terus bercerita. Ujarnya, sejak zaman berzaman, setiap kali  Ramadan, masjid itu akan diimarahkan dengan ibadah yang tidak pernah  putus sejak fajar mula menyingsing sehingga lewat pagi.
Jemaah bukan saja didorong menunaikan solat sunat tarawih dan  bermoreh, tetapi diajak bersama-sama menyemarakkan majlis witriah.
“Witriah adalah bacaan puji-pujian kepada Allah pada bulan Ramadan  dan kalau hendak tahu, Masjid Kampung Hulu saja merupakan satu-satunya  masjid yang mengekalkan amalan ini,” ujar Abdullah.
Hal itu diakui oleh Setiausaha Biro Ekonomi Masjid Kampung Hulu,  Yusop Tambri. Yusop yang juga kariah masjid tersebut sejak berumur 12  tahun berkata, tempat ibadat itu sememangnya dekat di hati masyarakat  Kampung Hulu.
“Masjid ini sungguh istimewa dan gemar dilawati umat Islam  lebih-lebih lagi terdapat makam Sayyid Abdullah Al-Haddad,” katanya.  Sayyid Abdullah Al-Haddah ialah seorang guru agama dan mempunyai ilmu  tasawuf yang tinggi. Beliau dianggap sebagai wali Allah pada sekitar  tahun 1800-an. 
Sedar tidak sedar, langit semakin gelap. Itu menandakan azan Maghrib akan berkumandang pada bila-bila masa.
Abdullah mengenakan songkok lantas menaiki tangga untuk memukul beduk yang terletak betul-betul di atas gerbang masjid.
Layanan baik
Dia tidak hentam kromo mengalunkan irama sebaliknya nada irama yang dipalunya ada oktaf tersendiri.
“Beduk atau gendang yang digunakan bagi menandakan masuk waktu solat  pada zaman dulu hanya terdapat di masjid ini,” katanya sambil  memberitahu paluan beduk hanya layak disempurnakan oleh pegawai masjid  sahaja.
Sebaik azan dilaungkan, kurma dijamah dan tanpa mengenal latar  belakang, empat individu berkongsi nasi yang dihidangkan dalam satu  dulang.
Sudah terbiasa makan di masjid, seorang jemaah Myanmar yang mahu  dikenali sebagai Ahmad, 32, memberitahu, kemiskinan hidup telah  mengheretnya ke masjid tersebut.
“Saya bersyukur kerana orang masjid di sini melayan orang luar dengan baik,” katanya.
Seorang jemaah wanita, Latifah Awang, 51, berkata, masjid itu telah mengikat hubungan persaudaraan dengan para jemaah lain.
“Selain gembira makan bersama, kami sesama jemaah sudah menjadi  kawan baik,” katanya yang sering ke masjid tersebut sejak dua tahun  lalu.
Siti, 27, yang tinggal di Peringgit, Melaka pula sanggup hadir ke  masjid kerana baginya aura masjid itu sungguh mempesona dan sukar  didapati di mana-mana.
Meskipun Masjid Kampung Hulu dikelilingi kedai-kedai yang diusahakan  oleh peniaga kaum Cina, ia sedikit pun tidak mengganggu keharmonian  masjid ini.
Seperti kata Yusop: “Orang Cina di sini tak pernah merungut  sebaliknya mereka sentiasa mengharapkan masjid ini meriah. Mereka kata  itu boleh dijadikan sebagai panduan mereka bangun untuk mula bekerja.”



 


















